Pages

Friday, March 26, 2021

Kalimah ALLAH Selain Islam Bercanggah Undang-undang, Fatwa Selangor

 MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR | | 25 Mac 2021

Abdul Aziz

SHAH ALAM - Penggunaan kalimah ALLAH dalam sebarang penerbitan agama Kristian di Selangor bercanggah dengan undang-undang dan fatwa yang diwartakan di negeri ini pada 18 Februari 2010.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, fatwa itu secara jelas memperuntukkan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Tegas beliau, wajib bagi umat Islam untuk menyekat penggunaan kalimah ALLAH jika terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah ALLAH tersebut.

"Penggunaan kalimah ALLAH untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan Islam di dalam negeri Selangor merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988)," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Abdul Aziz memberitahu, MAIS turut menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan kalimah suci itu oleh orang bukan Islam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam khususnya di negeri ini.

"MAIS menyokong penuh tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak kerajaan Malaysia untuk merayu keputusan tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor kekal larangan guna kalimah ALLAH dalam Bible

Katanya, MAIS turut menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di dalam negeri Selangor.

"MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah ALLAH merupakan suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada ALLAH iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

Justeru, katanya, kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain daripada agama Islam.

"Adalah menjadi tanggungjawab MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama Islam di dalam negeri Selangor selepas Sultan Selangor untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam termasuk menghalang penggunaan kalimah ALLAH oleh mana-mana orang jika kalimah tersebut jelas menyalahi maksud ALLAH yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam, " katanya.

Sumber asal: www.sinarharian.com.my

Wednesday, March 24, 2021

Selangor Kekal Larangan Guna kalimah ALLAH Dalam Bible Artikel Penuh

 ASYRAF MUHAMMAD | | 23 Mac 2021

SULTAN SHARAFUDDIN

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan bahawa sebarang penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible terjemahan Bahasa Melayu atau penerbitan tulisan agama Kristian adalah dilarang di negeri ini.

Sultan Sharafuddin mengulangi pendirian berkenaan kerana kalimah ALLAH adalah sesuatu yang suci bagi umat Islam dan hanya boleh digunakan merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Titah baginda, kalimah ALLAH sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

"Namun demikian sekiranya perkataan 'Tuhan' digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan 'God', beta tiada halangan atas penggunaan tersebut.

"Penegasan beta ini juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwarta negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan atau disamakan dengan Tuhan bagi agama-agama bukan Islam lain," titah baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah agar umat Islam di Selangor dapat menjaga kesucian kalimah ALLAH pada setiap masa dalam apa jua keadaan sekali pun.

Titah baginda, rakyat bukan Islam di negeri ini juga perlu akur dan patuh larangan berkenaan sepertimana terkandung di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

"Apa gunanya beta menjadi Ketua Agama Islam Selangor jika beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah ALLAH dan kesucian agama Islam daripada dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

"Beta sentiasa menekankan agar rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti agama yang boleh merosakkan perpaduan di Selangor.

"Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka beta juga menggesa agar penganut agama lain selain Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah ALLAH yang menjadi pegangan utama mereka," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyokong penuh titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini yang meminta kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

"Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain bagi memelihara kemuliaan agama Islam," titah baginda.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia sebelum ini turut memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sultan Ibrahim sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam dan baginda menyeru kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan dalam prosiding berkenaan.

Sumber asal: www.sinarharian.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...